My Add

Tuesday 26 February 2013

Anwar tidak semestinya jadi PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Februari, 2013: Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya semakin panas selepas Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan, jawatan itu tidak semestinya menjadi milik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan pemimpin kanan Pas itu dilihat bakal menghangatkan lagi hubungan parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar daripada menduduki jawatan berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga tokoh dengan latar belakang ulama dalam Pas, terdapat dua faktor untuk melayakkan seseorang itu menjadi Perdana Menteri pembangkang iaitu jumlah kerusi yang dimenangi parti dan persetujuan semua parti komponen dalam pakatan pembangkang.

Beliau menegaskan, walaupun semua pihak sebelum ini secara dasarnya bersetuju Anwar bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang namun dalam keadaan sekarang, parti komponen harus mengikut status quo iaitu parti yang memenangi paling banyak kerusi.

"Saya percaya kita perlu mengambil kira keputusan pilihan raya serta melihat parti mana yang lebih dominan dari segi memenangi kerusi selain persetujuan semua parti komponen kerana ia boleh menentukan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri (mewakili pembangkang).

"Itulah sebabnya mengapa saya terus menggesa seluruh ahli dan jentera pilihan raya kami untuk bekerja keras dalam memenangi pilihan raya umum nanti," katanya sebagaimana dipetik menerusi blog di http://www.mole.my hari ini.

Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri dan kenyataan beliau kemudian disokong beberapa lagi pemimpin Pas.

Malah, ketika masih di dalam Pas, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri iaitu antara faktor yang dikatakan menyebabkan beliau 'ditendang' keluar daripada Pas.

Tuan Ibrahim berkata, spekulasi kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi calon pilihan utama pakatan pembangkang sebagai Perdana Menteri cuma khabar angin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment