My Add

Saturday, 16 February 2013

Kerajaan negeri pembangkang dicabar buka tanah rancangan

PEKAN, SABTU, 16 Februari, 2013: Pengerusi Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA) Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencabar kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang supaya membuka tanah rancangan seperti yang dilaksanakan FELCRA bagi membela rakyat di negeri berkenaan.

Beliau berkata, jika pembangkang benar-benar prihatin, mereka sepatutnya memikirkan soal kebajikan dan memenuhi kehendak rakyat.

"Kalau mereka (pembangkang) hendak sangat bantu rakyat, bukalah tanah seperti mana FELCRA laksanakan.

"Ini tidak, tanah yang ada bukannya untuk rakyat tetapi diberikan kepada tauke-tauke besar," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Kunci Perumahan Program Penyusunan Semula Kampung FELCRA Sri Makmur di Pekan, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tajuddin turut menyeru semua warga FELCRA supaya tidak mendengar hasutan pembangkang serta terpengaruh dengan janji manis mereka. 

Beliau berkata, warga FELCRA seharusnya memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan.

Pada majlis itu, FELCRA menyerahkan 160 rumah kepada generasi kedua di kawasan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment