My Add

Tuesday 26 February 2013

Kerajaan Persekutuan tetap salur bantuan walaupun tidak menang

SHAH ALAM, ISNIN, 25 Februari, 2013: Kerajaan pakatan pembangkang perlu mencontohi kerajaan Persekutuan yang tetap menyalurkan bantuan kepada rakyat walaupun tidak menang seperti di Selangor, jika serius mengutamakan kebajikan dalam pemerintahan mereka.

Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin, berkata kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghentikan sebarang bantuan kepada semua rakyat walaupun tidak memerintah di beberapa negeri.

"Kita (kerajaan BN) teruskan bantuan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta beberapa bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk orang bujang serta bantuan awal persekolahan yang diberikan kepada semua golongan yang layak.

"Bantuan disalurkan tanpa mengira kaum dan bangsa malah fahaman politik," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan JKM Parlimen Shah Alam kepada 145 penerima di sini, hari ini.

Ahmad Nawawi berkata, berlainan dengan sikap pakatan pembangkang yang pandai berjanji tetapi gagal dikotakan seperti yang berlaku di Selangor pada hari ini, malah mereka berdolak dalik dengan manifesto yang dibuat sebelum memenangi pilihan raya umum lepas seperti bantuan untuk golongan ibu tunggal.

Beliau berkata, pakatan pembangkang lebih berminat membuat tuduhan tanpa asas termasuk mendakwa bantuan kerajaan Persekutuan bertujuan untuk meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Dakwaan yang tidak masuk akal, macam mana pula kita boleh tahu undi orang lain. Kalaupun ada yang terima bantuan tetapi tidak undi BN, kita tidak akan tahu, jadi macam mana boleh tuduh bantuan untuk pancing undi," katanya.

Ahmad Nawawi berkata, tiada pihak yang layak mempersoalkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kerana suka atau tidak mereka sendiri turut menikmatinya seperti subsidi barangan keperluan harian terutamanya petrol serta diesel.

"Tidak perlu hina atau kata sesiapa kerana menerima bantuan sebab kita semua tanpa terkecuali turut menikmati bantuan hari-hari dari kerajaan BN," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Selangor akan membawa kemenangan majoriti dua pertiga untuk BN di negeri itu.

"Kami yakin dengan rekod dan kesungguhan yang dibawa oleh PM akan memberikan impak serta kemenangan besar, bagi kami ia ibarat kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment