My Add

Friday 1 February 2013

Masa sudah tiba BN diberi peluang tadbir Kelantan: Muhyiddin

KOTA BHARU, KHAMIS, 31 Januari, 2013:: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sudah tiba masanya rakyat Kelantan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini bagi membolehkan pelbagai perubahan dilakukan di Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan BN mempunyai kemampuan untuk membuat perubahan bagi mengeluarkan mereka daripada keadaan 'murung' akibat kegagalan PAS menyelesaikan pelbagai masalah rakyat walaupun sudah 22 tahun diberi peluang memerintah negeri ini.

"Kalau nak keluar dari keadaan murung sebegini lama, saya fikir adalah lebih baik beri peluang kepada Barisan Nasional (Pada Pilihan Raya Umum ke-13).

“Kalau selepas lima tahun, dia kata BN tidak bagus, tukar balik, yang berkuasa ialah rakyat Kelantan tetapi beri kami peluang.

“Beri peluang kepada Perdana Menteri yang minta mandat baru ini dan kita tengok caranya, ada bezanya tak dalam tempoh lima tahun, kalau tidak ada beza juga itu hak rakyat Kelantan untuk buang kami... tetapi kami nak buktikan kami boleh buat, kami nak bantu rakyat, kena percaya kepada kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, kemudian mengadakan perjumpaan khas tertutup bersama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) di tempat yang sama.

Beliau berkata, ini adalah tawaran daripada BN untuk menolong rakyat Kelantan selepas kerajaan negeri pimpinan PAS gagal menyelesaikan banyak masalah seperti bekalan air bersih, tanah digadai dan janji-janji yang tidak ditepati. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment