My Add

Sunday 24 February 2013

Pembukaan Ladang Rakyat jejas pendapatan Orang Asli - Mustapa

JELI, AHAD, 24 Febeuari, 2013: Pembangunan ladang rakyat oleh kerajaan Kelantan yang turut melibatkan beberapa kawasan didiami masyarakat Orang Asli, dilihat menjejaskan sumber bekalan air dan hasil pendapatan masyarakat tersebut, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, terdapat kumpulan masyarakat Orang Asli tampil berdemonstrasi untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keghairahan kerajaan negeri membuka ladang tersebut di beberapa kawasan mereka termasuk di jajahan Gua Musang.

"Baru-baru ini, saya diberi taklimat mengenai satu projek bekalan air yang telah kerajaan pusat selesai menyediakan bekalan air tetapi oleh kerana ladang rakyat diteroka tanpa pengawasan menyebabkan sumber bekalan air kepada Orang Asli sudah terjejas...terpaksa Jabatan Kemajuan Orang Asli mencari sumber air lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Warisan Asli dan penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada masyarakat Orang Asli Jeli di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, keghairahan membuka kawasan hutan tertentu untuk pembalakan akan menjejaskan alam sekitar termasuk berlaku pencemaran air terutama Sungai Kelantan.

"Kita harap pihak berkenaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang sedia ada, bagi mengelakkan kawasan hutan digondol, bukit- bukau itu hendaklah dipelihara dengan baik supaya ia dapat memberi pendapatan kepada anak cucu kita pada masa depan," katanya.

Beliau turut meragui sama ada penerokaan tanah terutama di kawasan hulu Kelantan mendapat kelulusan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan menegaskan EIA penting bagi mengelakkan kawasan berbukit digondolkan sewenang-wenangnya hingga menyebabkan kemusnahan khazanah alam negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, UMNO Kelantan sudah mengenal pasti dan membuat kajian sikap terhadap pengundi negeri ini yang kini berada di luar Kelantan, menunjukkan mereka mahu perubahan dilakukan pada pilihan raya umum ke-13 nanti bagi memajukan negeri ini.

"Nama mereka sudah ada pada kita dan kita sudah buat kajian sikap, kita sudah ada program, setiap bahagian (Umno) ada program dilaksanakan di Kuala Lumpur dan tempat lain, kita nampak kebangkitan untuk dilakukan perubahan di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengiatkan pelaksanaan program kepada pengundi golongan muda melalui gerakan gelombang merah yang kini semakin mendapat sambutan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment