My Add

Wednesday 20 February 2013

Pemuda GERAKAN Kedah serah memorandum hutang kerajaan Kedah

ALOR SETAR, RABU, 20 Februari, 2013: Pemuda GERAKAN Kedah hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung hutang kerajaan negeri yang hampir mencecah RM3 bilion.

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, memorandum itu bertujuan memohon kerajaan negeri mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan beban hutang yang meningkat hampir RM1 bilion sejak kerajaan negeri sekarang mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008.

"Mengikut laporan Audit Negara 2011, sehingga 31 Disember 2011 hutang awam oleh kerajaan negeri sudah mencecah RM2.6 bilion, tetapi baki wang tunai kerajaan negeri Kedah hanya tinggal RM193.22 juta.

"Melalui siasatan yang kami buat, kami dapati hutang RM2.6 bilion itu tidak termasuk hutang bagi pembinaan KUIN (Kolej Universiti Insaniah) iaitu sebanyak RM330 juta. Jadi anggaran hutang kini adalah sebanyak RM2.933 bilion," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Khas (Belia) Menteri Besar Kedah, Mohd Rosli Azmi di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau berkata, kenaikan hutang itu adalah hampir 50 peratus selepas PAS dan sekutunya mengambil alih pentadbiran negeri Kedah.

"Jadi kami amat bimbang dengan kewangan kerajaan negeri kerana beban hutang terlalu tinggi sedangkan baki wang yang ada kurang daripada jumlah hutang," katanya.

Tan berkata, hutang itu dapat dikurangkan sekiranya pentadbiran negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah dan membuat kajian secara teliti sebelum membuat apa-apa pelaburan supaya tidak mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan negeri. 

"Kerajaan Kedah kata mereka belanja dengan berhemah tetapi sebaliknya mereka beli sebuah kereta Mercedes S350 dengan nilai yang hampir mencecah RM800,000. Itu adalah contoh kerajaan negeri guna duit rakyat.

"Kami harap Menteri Besar akan mempertimbangkan perkara ini bagi menjamin masa depan negeri Kedah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment