My Add

Friday 29 March 2013

99 pesara polis, tentera terima tawaran rumah PPR Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Seramai 99 pesara polis dan tentera hari ini menjadi kumpulan kedua ditawarkan menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalildi sini selepas tawaran tersebut diberikan kepada kumpulan orang kurang upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata kumpulan itu mendapat keutamaan dalam permohonan PPR sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa pasukan keselamatan negara selain mempertimbangkan permohonan yang dibuat persatuan-persatuan veteran dan bekas tentera serta polis.

Namun, katanya pemilihan pemohon daripada kumpulan itu masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Pemilihan dibuat melalui jawatankuasa pemilihan di bawah DBKL. Antara syarat utama ialahmereka (pemohon) ini tidak mempunyai rumah sendiri di mana mungkin mereka ini sewa atau tinggal dengan ahli keluarga lain," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran berkenaan di sini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 40,000 pemohon PPR dan daripada jumlah itu, kira-kira 2,000 terdiri daripada pesara polis dan tentera.

Terdahulu dalam ucapannya, Raja Nong Chik berharap isu pemberian tawaran itu tidak dipolitikkan pihak-pihak tidak bertanggungjawabkerana perancangan untuk memberikan tawaran rumah PPR kepada pesara polis dan tenterasudah lama diusahakan DBKL sebelum ini.

"Ini satu lagi komitmen serta khidmat sosial DBKL, sebagai mengenang jasa serta tanda penghargaan kepada tuan-tuan, yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada bangsa, agama dan negara," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment