My Add

Friday 29 March 2013

DPMM sanggup keluar modal bina rumah kos sederhana

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon kerjasama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menawarkan tanah kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk membina rumah kos sederhana.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, DPMM bersedia untuk mengeluarkan modal sendiri bagi membangunkan rumah di bawah program Perumahan Kos Sederhana Mampu Milik Konsep SeMalaysia (PPKS).

"Kalau tanah tidak diberikan secara percuma pun tidak mengapa, DPMM sanggup membayar (harga tanah) asalkan ia tidak terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan laman web PPKS dan menyampaikan hadiah kepada pemenang reka bentuk program itu di sini hari ini.

Program PPKS merupakan program kendalian DPMM menerusi anak syarikatnya DPMM Perumahan Berhad.

Chor berkata, DPMM merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan yang membangunkan perumahan mampu milik tanpa bermotifkan keuntungan untuk membantu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

"Memandangkan hari ini berlaku peningkatan kos tanah, kos bahan mentah dan kos pembinaan hingga menyebabkan kos rumah yang ditawarkan pemaju swasta menjadi begitu tinggi sehingga rakyat berpendapatan sederhana sukar untuk memiliki rumah," katanya.

Sementara itu Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas mengumumkan pembinaan fasa pertama program PPKS di Taman Uda, Johor Bahru yang berkeluasan 1.4 hektar dengan pembangunan 230 unit pangsapuri.

Untuk fasa kedua, DPMM akan membangunkan 400 unit iaitu 200 unit teres dan 200 unit pangsapuri di atas tanah berkeluasan 2.6 hektar.

"Buat masa sekarang, kami menganggarkan harga untuk seunit rumah di bawah RM200,000 dan pembinaan rumah akan dibuat tahun ini berkemungkinan sekitar bulan Ogos," katanya.

Pada majlis tersebut diumumkan dua pemenang reka bentuk program PPKS iaitu arkitek Jamaludin Mohamad Nor bagi reka bentuk pangsapuri. Beliau menerima sijil dan RM10,000 manakala Arkitek MZD Sdn. Bhd. bagi reka bentuk pangsapuri yang memenangi RM7,000 dan sijil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment