Henti raih sokongan luar untuk cetus ketidakharmonian negara: Rais
LAHAD DATU, KHAMIS, 8 Mac, 2013: Mana-mana pihak yang cuba meraih sokongan luar bagi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara perlu segera menghentikan perbuatan terkutuk itu, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, perbuatan bermain api dengan cuba membangkitkan sentimen tertentu membabitkan isu politik serantau antara Sulu dan Sabah boleh dianggap sebagai mengkhianati negara dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Insiden pencerobohan di Lahad Datu tidak akan berlaku jika tiada perancangan jahat pihak tententu yang melibatkan Sulu.
"Pencerobohan yang cuba pecah-belahkan masyarakat ini adalah satu kedurjanaan politik membabitkan pihak yang rakus jiwa politiknya dan bagi rakyat Sabah ia boleh dianggap satu malapetaka," katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari meraikan petugas media yang bertugas dalam Operasi Daulat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika keadaan tidak harmoni itu dilihat sebagai jalan pintas bagi pihak berkenaan untuk berkuasa, ia adalah satu tanggapan cetek kerana kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan membenarkan rakyat terseksa dan seinci bumi Sabah kembali dinodai.
"Jika itu yang diduga, ia satu dugaan cetek kerana dengan kewujudan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Sabah) kami dan seluruh masyarakat yakin dan selesa menyatakan musuh-musuh yang menceroboh negara ini dapat dihapuskan," katanya.
Rais berkata, bagi mencantumkan semula masyarakat yang kini trauma ekoran insiden itu, kementerian melalui Jabatan Penerangan akan mengaktifkan semula Program Mesra Jiran seperti yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, program yang menyasarkan untuk kembali menstabilkan masyarakat itu akan dilaksanakan segera selepas mendapat kebenaran pihak keselamatan.
Pada majlis itu, Rais menyampaikan lima komputer jenis Lenovo untuk pusat media di sini bagi kegunaan petugas media.
Sementara itu, Rais ketika pertemuan bersama pemimpin masyarakat dari kawasan Tungku dan Lahad Datu memperjelaskan bahawa beliau tidak berniat menuduh pembangkang yang mendalangi insiden pencerobohan itu sehingga perkara itu dibuktikan oleh undang-udang.
Beliau berkata, bagaimanapun laporan media asing, khususnya di Manila yang mengaitkan ahli politik pembangkang dengan insiden itu perlu diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan untuk menghalang usaha pihak tertentu mengundang anasir luar bagi menggugat kedaulatan negara.
"Walau apa pun media luar katakan, satu yang perlu kita tonjolkan iaitu kedaulatan negara tidak boleh dirunding dan sebagai pemimpin masyarakat kita perlu jelaskan kenapa insiden ini berlaku menjelang pilihan raya umum," katanya.
Rais berkata, Lahad Datu menjadi lambang penyatuan dan isyarat jelas bahawa seluruh masyarakat akan terus bersama-sama kerajaan mempertahankan Sabah dalam bumi Malaysia untuk selamanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan keperluan makanan berjumlah RM280,000 kepada empat pusat penempatan sementara meliputi Embara Budi, Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura.
Dalam pada itu, beberapa ketua masyarakat yang ditemui menyimpulkan ucapan Rais sebagai amat bermotivasi dalam menangkis tohmahan yang dilempar pihak tertentu sekali gus akan dijadikan panduan dalam memberi penerangan kepada penduduk yang diwakili untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional.
Ketua Daerah Tungku, Abdillah Hamzah, 70, berkata penduduk Tungku sememangnya sudah lama menantikan kehadiran Rais dan ternyata penantian mereka berbaloi setelah dihidangkan dengan ucapan penuh bermotivasi menteri itu.
Bagi Sulaiman Atok, 60, kenyataan Rais berhubung wujudnya pengkhianat dalam insiden pencerobohan militan selatan Filipina itu mungkin ada benarnya yang perlu disiasat segera.
"Saya yakin ada dalang di sebalik insiden itu dan bagi pihak penduduk Lahad Datu, saya menggesa supaya Suruhanjaya Diraja ditubuh segera untuk menyelesaikan kekusutan itu," katanya yang juga ketua Jabatan Mahkamah Anak Negeri Lahad Datu.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment