My Add

Sunday 17 March 2013

Jangan mudah terpengaruh internet

SHAH ALAM, SABTU, 16 Mac, 2013: Golongan muda di negara ini dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan setiap maklumat yang dipaparkan dalam internet.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sebagai individu yang akan menjadi aset negara pada suatu hari nanti, golongan muda tidak seharusnya terjebak dengan mempercayai segala maklumat ditulis di dalam internet.

Beliau berkata, negara kini mempunyai teknologi yang canggih, maka golongan muda sewajarnya bersikap realistik dan percaya golongan itu sudah bijak menilai untuk kepentingan negara.

"Pelbagai isu ditulis di dalam internet, tetapi saya berharap agar golongan muda ini menjaga kelakuan seperti aset negara dan bukannya berkelakuan untuk mencemar nama negara.

"Sebagai contoh, ada laporan di dalam internet yang mengatakan saya hanya berpura-pura melakukan solat hajat untuk para pejuang negara. Isu solat dan keselamatan negara seharusnya tidak perlu dipersoalkan dan saya percaya golongan muda bijak membezakan baik dan buruk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Anak Muda Aset Negara dan Persidangan Agung Majlis Belia Selangor (MBS) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pegawai Kemajuan Negeri Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Dalam majlis tersebut, Rosmah turut melancarkan Tabung Wira Lahad Datu yang merupakan inisiatif MBS sebagai tanda keprihatinan golongan belia dan anak muda Selangor.

Sementara itu, Irmohizam berkata, seminar yang dijalankan adalah bertujuan memberi pendedahan kepada anak muda mengenai peranan mereka dalam menjalani aktiviti sukarelawan.

"Ini kerana golongan muda ini akan membantu dalam mempertahankan kemakmuran negara tanpa mengakibatkan perpecahan antara satu sama lain.

"Kita juga boleh melihat suara anak muda kini bukan suara untuk memprotes tetapi mereka ini merupakan golongan dinamik yang mampu melahirkan idea realisitik selaras dengan pembangunan negara," katanya.

Selain itu katanya, beliau berharap dengan adanya seminar ini ia akan menjadi satu iktibar supaya golongan belia menjadi lebih relevan dan membantu negara untuk kebaikan agama, negara dan bangsa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment