My Add

Friday 1 March 2013

Ketamine diseludup dalam kotak barang kemas

SEPANG, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis ketamine bernilai RM238,000 yang disembunyikan dalam 12 kotak barang kemas, dipercayai modus operandi terbaru untuk menyeludup dadah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Zainul Abidin Taib, berkata siasatan awal mendapati dadah seberat 6.8 kilogram itu dihantar melalui syarikat penghantaran ekspres dari Chennai, India melalui pengangkutan udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Berdasarkan maklumat pada alamat kurier, serbuan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan KLIA di sebuah premis di ibu negara. Hasil serbuan menemui satu bungkusan besar yang di dalamnya ada 12 kotak barang kemas yang di bawahnya tersorok bungkusan serbuk putih," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, hasil serbuan itu, seorang lelaki rakyat India yang sudah lapan tahun tinggal di Malaysia dan bekerja di kedai besi buruk ditahan pada 25 Februari lalu untuk siasatan lanjut.

Zainul Abidin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan suspek yang berusia 33 tahun itu adalah anggota salah sebuah sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai untuk memasarkan ketamine bagi pasaran tempatan.

Selain kes itu, Zainul Abidin berkata tiga lagi rakyat asing ditahan di KLIA sepanjang tempoh 20 hingga 25 Februari lalu akibat cubaan menyeludup dadah menggunakan modus operandi biasa iaitu disembunyikan dalam ruangan khas pada bagasi.

"Dalam kes pertama, seorang 'data entry clerk' rakyat India berumur 29 tahun yang kali ketiga masuk ke negara ini ditahan pada 20 Februari akibat cubaan membawa dadah jenis ketamine bernilai RM54,635 dianggarkan seberat 1.56 kg, menaiki penerbangan dari Chennai," katanya.

“Pada 22 Februari, seorang penganggur rakyat Indonesia berusia 29 tahun yang kali keempat masuk ke Malaysia turut ditahan akibat membawa 2.62 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM498,180, menaiki penerbangan dari Maldives,” katanya.

Zainul Abidin berkata, kes ketiga membabitkan seorang ahli perniagaan rakyat India berusia 35 tahun yang menaiki penerbangan dari Singapura dan membawa 5.61 kilogram dadah jenis methampetamine bernilai kira-kira RM1.066 juta (RM1,066,660).

Menurutnya, kesemua suspek direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Katanya, KDRM akan terus mempergiatkan usaha membanteras cubaan menyeludup dadah masuk ke negara ini dengan kerjasama anggota penguatkuasaan lain serta maklumat orang awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment