My Add

Sunday 17 March 2013

Lahad Datu: Kerjasama KL-Manila

 *MUHYIDDIN Yassin bersama Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan
seorang peniaga ikan semasa melawat pasar Bukit Bakri dalam program turun
 padang bersama masyarakat Bukit Bakri di Muar, Johor, semalam.

Oleh Mohamad Fikri Rosly dan Zulhisham Isahak
PAGOH, SABTU, 16 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menggunakan saluran diplomatik dan bekerjasama dengan pihak pemerintah Filipina untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T. Gazmin tentang penemuan beberapa bukti penglibatan tokoh pembangkang di negara itu dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu adalah satu kenyataan yang kritikal.

"Kalau dapat disahkan sebagai kenyataan yang betul, maka kita harap pihak berkuasa Filipina akan mengambil tindakan mengikut undang-undang di sana.

"Namun begitu hal yang penting ialah sama ada wujud hubung kait dengan orang Malaysia yang ada di sini, saya tidak pasti tetapi kalau sudah dapat laporan yang lebih terperinci kita akan tahu kedudukan sebenar," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hello Komoditi di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Semalam, Gazmin yang mewakili kerajaan Filipina semasa berkunjung ke Putrajaya menyatakan perkara tersebut dan percaya kumpulan keluarga Jamalul Kiram iaitu pemimpin kumpulan pengganas yang bertanggungjawab dalam insiden itu dibiayai pembangkang di Filipina.

Mengenai kematian penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang meninggal dunia semalam selepas diserang sakit jantung yang turut didakwa sebagai konspirasi UMNO, Muhyiddin secara sinis berkata, semua yang berlaku adalah konspirasi parti itu.

"Kenyataan itu berniat jahat. Kalau ekonomi baik tak kata pula sandiwara UMNO, apabila harga getah baik tak kata juga sandiwara. Jadi kita rakyat Malaysia jangan terpedaya, ini semua kenyataan politik sahaja," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Program Bersatu Banteras Jenayah peringkat Muar bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Dewan Bola Keranjang Pekan Bakri di Muar, beliau menegaskan tiada jaminan bahawa keamanan dan keselamatan yang dikecapi ketika ini akan berterusan kerana wujud 'musuh luar' yang akan terus cuba membawa kerosakan atas rasa cemburu dengan kejayaan yang dicapai negara ini.

katanya, keadaan selamat di Malaysia bukan sekadar andaian tetapi telah terbukti melalui Indeks Keamanan Global (GPI) yang meletakkan negara ini sebagai antara yang paling selamat di dunia.

"Ini diiktiraf oleh GPI yang membuat penilaian dan kita kini berada di tangga ke-20 negara paling selamat mengatasi Singapura di tempat ke-23. Isu di Lahad Datu membuka mata ramai pihak tentang nilai keselamatan, kita hantar polis dan lima batalion tentera ke sana.

Turut hadir Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM, Datuk Wira Ayub Yaakob; Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif - UTUSAN

No comments:

Post a Comment