My Add

Friday 29 March 2013

Malaysia model pembangunan masyarakat majmuk

Oleh MD. AZRIN ROSLY
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Rakyat Malaysia perlu mempertahankan kekuatan serta keunikan kepelbagaian kaum dan agama yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Persatuan Jepun bagi Kajian Malaysia (JAMS), Prof. Madya Yamamoto Hiroyuki berkata, keunikan tersebut boleh menjadi model kepada dunia termasuk daripada aspek seni dan kemahiran yang ada.

"Malaysia satu-satunya negara di dunia yang berjaya menghubungkan pelbagai tamadun dunia besar seperti tamadun Islam dan Melayu, Cina, India serta Barat untuk duduk bersama.

"Mereka bersama-sama dan menyesuaikan dengan keadaan tempatan agar dapat membangunkan negara walaupun ada isu-isu kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam seminar 'Dimensi Baharu Bagi Dasar Pandang Ke Timur' di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia, Nakamura Shigeru.

Yamamoto yang fasih berbahasa Melayu berkata, sudah sampai masanya Malaysia merangka Dasar Pandang ke Timur gelombang kedua untuk menjayakan kerjasama dalam bentuk baharu.

"Hubungan mengajar dan belajar secara sehala sahaja sudah tidak relevan sebaliknya perkongsian dua hala yang lebih banyak," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah (Polisi Luar dan Kajian Keselamatan) Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Dr. Tang Siew Mun berkata, hubungan dan kerjasama Jepun membabitkan pelbagai aspek begitu penting kepada negara.

"Contohnya kerjasama bagi pendirian pengawalan senjata iaitu nuklear yang kita tahu Jepun berpendirian sama dengan ASEAN iaitu menolak penggunaan senjata nuklear.

"Selain itu, kerjasama keselamatan dalam menentang lanun terutama di Teluk Aden juga boleh diterokai dengan kerjasama Jepun yang sudah terlibat sama bagi menentang ancaman lanun di sana," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment