My Add

Sunday 17 March 2013

MERCY Malaysia sediakan klinik bergerak di FELDA Sahabat

 LAHAD DATU, AHAD, 17 Mac, 2013: Mercy Malaysia akan menempatkan kemudahan klinik bergerak di Dewan Fajar Harapan, FELDA Sahabat bagi manfaat penduduk kampung yang dipindahkan berikutan pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu. 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Mercy Malaysia, Dr Heng Aik Cheng berkata, klinik itu akan beroperasi dalam tempoh terdekat dan bakal dilengkapi dengan 30 katil untuk wanita dan kanak-kanak, 10 katil untuk lelaki serta khidmat perubatan dan farmasi. 

"Pada masa sama kita juga akan memberi pendidikan kesihatan kepada penduduk kampung khususnya kepada golongan kanak-kanak yang ditempatkan dewan tersebut," katanya ketika ditemui di Dewan Fajar Harapan kira-kira 130 km dari sini.

Kira-kira 1,430 penduduk kampung dari Sungai Merah, Sungai Bilis, Tanjung Labian, Tanagian, Tanduo, Sungai Nyamuk, Lok Buani dan Tanjung Batu kini ditempatkan di empat pusat penempatan sementara iaitu dewan Fajar Harapan, Embara Budi, Cenderawasi, dan Gemala Pura. 

Sehingga pagi ini, pasukan keselamatan masih menggempur kumpulan pengganas di Kampung Tanjung Batu dan penduduk kampung belum dibenarkan kembali ke kampung masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment