My Add

Sunday 17 March 2013

Pakatan dakwa Najib keluar 'fatwa' songsang

 Mahfuz Omar
 NIZAM ZAIN
SHAH ALAM, SABTU, 16 Mac, 2013: Pakatan Rakyat (PR) menegaskan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perikatan berusia lima tahun itu khususnya Pas telah melakukan tujuh dosa besar terhadap rakyat dan umat Islam di negara ini tidak berasas sama sekali.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menempelak tuduhan serius presiden Umno itu sambil menyindir Najib sebagai "mufti dan ahli majlis syura baru" kerana mengeluarkan fatwa songsang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah cuba memburuk-burukkan parti yang memperjuangkan Islam itu khususnya Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sejak bila dia jadi mufti? Kenapa dia pulak nak jadi Majlis Syura mengeluarkan hukum hakam.

“... dulu kata Pas kafirkan Umno, sekarang dia pula buat, sekarang dia nak jadi tuhan pula,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut menyindir Najib sambil meminta beliau menutup mulut daripada menyentuh hal ehwal Islam kerana Pengerusi Barisan Nasional itu mengeluarkan kenyataan tidak berdasarkan ilmu, malah bukan ahli dalam memutuskan hukum-hakam.

Tegas Mustafa, tuduhan Najib itu bukan sahaja serius malah mempersendakan hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran dan Al-Sunah dengan mempermainkan hukum dosa besar dengan sesuatu yang beliau sendiri tidak memahaminya.

“Siapa bagi fatwa, mana dia (Najib) dapat fatwa macam itu, tak betul tu (tuduhannya).

“...kalau tak faham jangan cakap, kenyataan dia bukan berdasarkan ilmu,” tegasnya sambil menafikan tuduhan Najib khususnya membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.

Tegasnya, jika benar Pas melakukan dosa besar terbabit, di mana peranan Umno-Barisan Nasional dalam mempertahankan kalimah ALLAH ketika ia kembali menjadi kontroversi pada tahun lepas.

“Bila kalimah Allah jadi isu, ada dia (Umno) pertahan, siapa yang pertahan? Soalnya dengan menyifatkan Najib sebagai tiada modal untuk meraih sokongan rakyat kepada Kerajaan BN ketika mengadakan lawatan bertemu rakyat Kelantan semalam," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osmana hairan dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh seorang pemimpin negara itu, sambil memberi amaran kepada Najib sekiranya tuduhan itu tidak disusuli dengan bukti, beliau tidak wajar membuat tuduhan sebegitu.

“Dalam Islam yang nak tuduh mesti ada bukti sah dan jelas.

“... siapa nak mendakwa kena ada bukti, tiada bukti jangan buat tuduhan,” katanya.

Rani juga mendakwa isu kalimah ALLAH yang menjadi kontroversi baru-baru ini secara terang-terangan ditimbulkan oleh Umno-BN sendiri.

“Kalimah ALLAH jelas benda yang dicipta Umno sendiri,” dakwa beliau.

Beliau percaya tuduhan Najib itu bagi mengaburi mata rakyat tentang kepincangan ahli dan parti komponen BN yang kian berpecah-belah malah sejak akhir-akhir ini mereka sendiri tidak memberi sokongan sepenuhnya terhadap program turun padang beberapa pemimpin termasuk Najib sendiri.

Beliau berkata tahap kepercayaan rakyat kepada BN semakin pudar akibat sikap Najib yang terus-menerus menebarkan fitnah dan mengaibkan pembangkang dengan pelbagai serangan ganas, bukannya berlawan dengan hujah atau berdebat dengan cara yang sihat.

“Mafrel dan Umcedel buktikan sokongan kaum Cina makin meningkat kepada 84 peratus dari 60 peratus dulu, India pula 70 peratus dari 40 peratus, dan Melayu pun begitu.

“...bukan lawan dengan baling telur, dia nak cakap ape pun terpulanglah, rakyat yang menilainya,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment