My Add

Friday 29 March 2013

Pembangunan agenda utama BN jika dapat tawan Kedah: Mukhriz

JERLUN, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Aspek pembangunan di Kedah menjadi agenda utama Barisan Nasional (BN) jika dapat merampas kembali negeri ini daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN mahu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri yang dapat memberi pendapatan lumayan menerusi pelbagai projek yang bakal dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto BN Kedah berkata, beliau tidak mahu modal insan yang dilahirkan di negeri ini terpaksa berhijrah ke negeri lain semata-mata kerana mencari rezeki.

"Kita (BN) masih sebuah parti yang bawa pembangunan dan sepanjang tempoh lima tahun pakatan pembangkang ambil alih negeri ini, kita lihat tidak ada pembangunan yang boleh bantu rakyat.

"Kalau isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kita boleh buat sesuatu bagi menyelamatkan keadaan tapi kalau isu pembalakan di Pedu, Changlun dan Bukit Kachi amat sukar untuk memulihkan kawasan balak yang digondol itu," katanya selepas majlis penyampaian Ihsan Samudera oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Wisma UMNO Jerlun di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan pembalakan yang dibuat kerajaan negeri mungkin disebabkan mereka mahu menjana pendapatan sebagai persiapan menjelang PRU-13 nanti.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, beliau khuatir kegiatan pembalakan rakus dibuat kerajaan negeri itu akan memusnahkan warisan hutan yang ada di negeri ini. 

Pada majlis tersebut Yayasan 1MDB menyampaikan wang saku RM100 dan pakaian seragam murid sekolah rendah kepada 189 pelajar dalam Parlimen Jerlun, 412 jaket keselamatan kepada nelayan dan pukat ikan kembung kepada 206 nelayan.

Seramai 692 orang turut menerima kotak makanan berkhasiat, 50 basikal 'Fixie' dan 2,000 cermin mata percuma kepada penduduk dalam kawasan Parlimen Jerlun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment