My Add

Saturday 16 March 2013

Perniagaan IKS Suluk Sabah terjejas

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
KOTA KINABALU, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna hampir melumpuhkan ekonomi peniaga tempatan berketurunan Suluk yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

Presiden Persatuan IKS Groom Big Sabah, Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, pihaknya menganggarkan pendapatan peniaga kecil-kecilan di kawasan terbabit kerugian kira-kira 90 peratus sejak tragedi itu berlaku 12 Februari lalu.

"Peniaga bebola daging di Lahad Datu tidak lagi menerima tempahan seperti biasa. Kebiasaannya, pada masa ini kami juga akan ke sana untuk mengutip sarang burung di Madai, Kunak, malangnya semua urusan itu terbantut disebabkan oleh pencerobohan pengganas Sulu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sambil berharap situasi akan kembali tenang, Dayang Khatijah berkata, apa yang berlaku adalah cabaran besar yang terpaksa mereka hadapi.

"Kami difahamkan banyak orang di Lahad Datu sudah mahu menjual tanah-tanah mereka dengan harga murah kerana khuatir dengan keadaan di situ," ujarnya dan menambah persatuan tersebut mempunyai ahli seramai 500 orang di seluruh Sabah dengan anggaran pendapatan bulanan sebelum ini mencecah RM1.5 juta.

Dalam sidang akhbar sama, Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Sabah (PRES), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, dakwaan segelintir pihak di laman sosial tentang tindakan 'mengoyak dokumen' dan layanan buruk terhadap masyarakat Suluk di negeri ini adalah tidak benar.

"Ia adalah tuduhan tidak berasas. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut. Kami mendengar dakwaan ini tetapi sehingga kini belum menerima sebarang laporan.

"Saya minta agar mana-mana pihak tampil ke hadapan dan kemukakan bukti. Kami sedia membantu dengan syarat mereka adalah warganegara Malaysia," jelasnya.

Mohd. Zaki menegaskan, persatuan itu juga akan memantau laman-laman sosial seperti Facebook yang dikatakan memperkecil-kecilkan dan menghentam etnik Suluk di Sabah.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kami adalah warga Malaysia yang berdaulat dan cintakan keamanan. Jadi, janganlah menghentam (etnik Suluk) keterlaluan. Kami akan buat laporan polis jika dapat kesan siapa mereka ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment