My Add

Friday 29 March 2013

RM200 juta untuk Esszone:  Zahid Hamidi


LANGKAWI, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk keperluan pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) termasuk menambah aset pertahanan bagi memantapkan operasi di zon tersebut.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan itu yang merupakan tambahan daripada belanjawan pertahanan negara, akan digunakan untuk membeli bot-bot laju bagi tujuan pemintasan dan juga penambahan kepada bot penyerang CB90 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain itu ia juga untuk membina kabin pasukan keselamatan yang bertugas di 10 daerah Esszone meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, katanya kepada pemberita di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA '13).

Ahmad Zahid berkata peruntukan itu juga akan diguna untuk menaik taraf dua helikopter dan tiga pesawat 'fixed wings' bagi tujuan Maritime Patrol Aircraft (MPA).

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan akan membeli pesawat MPA baharu bagi tujuan sama berikutan pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lepas.

Dalam insiden pencerobohan militan itu, lapan anggota polis dan seorang anggota tentera terbunuh serta seorang anggota tentera terkorban dalam satu kemalangan jalan raya ketika mengikuti konvoi operasi di kawasan itu.

Tindakan ofensif kerajaan yang dinamakan Operasi Daulat dan dilancarkan pada 5 Mac lepas, berjaya membunuh 65 pengganas setakat ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan bagaimanapun tidak mahu mengesahkan jika helikopter baharu jenis EC725 Cougar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru memasuki perkhidmatan akan digunakan di Sabah untuk tujuan MPA.

Pada masa ini, TUDM tidak mempunyai helikopter yang sesuai untuk MPA dan pemerhati pertahanan berpendapat kerajaan mungkin akan menaik taraf pesawat 'fixed wings' jenis CN235 atau C-130 TUDM untuk penugasan MPA.

Ahmad Zahid berkata beliau menjangkakan pasukan keselamatan akan menerima peruntukan tambahan dalam masa terdekat untuk pembelian aset baharu yang bertujuan memantapkan lagi operasi di Esszone.

"Saya menjangkakan peruntukan tambahan akan diterima lagi dan buat permulaan, peruntukan awal ini kita akan guna bagi menambah beberapa aset penting," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment