My Add

Friday 29 March 2013

SPR terima notis Dun Negeri Sembilan bubar

SHAH ALAM, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima notis rasmi pembubaran Dun Negeri Sembilan hari ini dan berhasrat untuk mengadakan pilihan raya serentak membabitkan semua negeri.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pagi ini yang memaklumkan bahawa Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-12 telah terbubar secara sendiri pada 28 Mac 2013," kata kenyataan suruhanjaya yang dikeluarkan sebentar tadi.

Kenyataan itu berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh selama 60 untuk menetapkan tarikh-tarikh penamaan calon dan pengundian berkaitan dengan pilihan raya umum bagi Dun Negeri Sembilan melalui satu mesyuarat khas yang akan ditetapkan kemudian.

Namun, menurut kenyataan itu lagi, adalah menjadi hasrat SPR untuk mengadakan pilihan raya umum secara serentak bagi Parlimen dan Dun seluruh negara.

Dalam pada itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kerajaan sementara yang tertubuh selepas Dun Negeri Sembilan dibubarkan dianggotai oleh individu yang sama semasa kerajaan memerintah.

Bagaimanapun katanya, kuasa kerajaan sementara ini terhad kepada pentadbiran dan pengurusan harian sahaja manakala segala keputusan dalam membuat dasar baru ataupun meluluskan belanjawan kerajaan negeri tidak dibenarkan lagi.

“Negeri Sembilan ada kerajaan sementara sekarang, tak pasti speaker dah hantar (surat pemberitahuan bubar), beliau dah dijemput 8.30 pagi tadi untuk nyatakan Dun Negeri Sembilan dibubarkan secara automatik.

“... kita tunggu surat daripada kerajaan sementara itu, bukan orang lain, mereka kerajaan asal, Adun pula tamat tanggungjawabnya, elaun pun tamat, tapi bagi Menteri Besar, Speaker dan Exco masih jalankan tugas mereka dalam kerajaan sementar,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kerajaan sementara itu akan tamat tempoh sebaik sahaja Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah kelak.

Dalam tempoh itu juga, kerajaan sementara boleh menjalankan urusan negeri seperti biasa termasuk melakukan mesyuarat Exco.

Beliau menjangkakan Dun Negeri Sembilan boleh mengadakan pilihan rayanya selewat-lewatnya pada 28 Mei depan atau 60 hari selepas Dun dibubarkan.

Dalam tempoh itu juga, sebuah negeri lagi akan terbubar secara automatik iaitu Pahang. Oleh sebab itu, SPR berusaha untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya dilaksanakan secara serentak bagi menjimatkan kos dan masa.

“Kalau buat berasingan kos akan tinggi, pengundi pun penat, bukan semua pengundi duduk di situ, duit belanja, kempen pula berpanjangan, biarlah penat sekali kalau tak kita buat perkara sama berulang.

“...jika pilihan raya dilakukan berasingan kosnya seperti di Selangor sekurang-kurang akan menelan belanja sebanyak RM35 juta manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula RM17 juta,” jelasnya.

Ditanya sama ada SPR mempunyai kuasa untuk menentukan garis panduan bagi membentuk kerajaan sementara itu, jelasnya ia terpulang kepada setiap kerajaan negeri itu berpandukan penasihat undang-undang negeri masing-masing

“SPR hargai setiap kerajaan negeri, mereka patut ada garis panduan dan etika sendiri dalam kerajaan sementara.

“...biarlah kerajaan negeri ketengahkan polisi mereka,” - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment