My Add

Friday 1 March 2013

Thailand, Filipina suarakan minat sertai rundingan TPP

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Thailand dan Filipina adalah antara negara yang baru-baru ini menyuarakan minat untuk menyertai Perkongsian Trans Pasifik (TPP) bersama dengan 11 anggota lain.

Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi hal Ehwal Ekonomi dan Perniagaan, Jose Fernandez, berkata perkara itu menjadi tajuk perbincangan selanjutnya semasa lawatannya ke kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita melalui telepersidangan dari Singapura di sini hari ini, Fernandez berkata TPP, yang antara matlamatnya ialah menambah baik keadaan pekerja, keprihatinan terhadap alam sekitar dan peningkatan perdagangan untuk mewujudkan pekerjaan, memang ditubuhkan dengan tujuan merangkumi lebih banyak negara yang berminat untuk mengambil bahagian.

"Memanglah, ini harus diputuskan bersama oleh semua rakan kongsi. Tetapi AS akan bekerjsama dengan kedua-duanya (Thailand dan Filipina) untuk menepati semua standard sebagai persediaan menyertai TPP," katanya.

Baru-baru ini Fernandez mengunjungi Myanmar, Thailand dan Filipina di samping menemui syarikat-syarikat Amerika yang menjalankan perniagaan di negara-negara itu, serta pembuat dasar, dalam usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara AS dan negara-negara ASEAN.

Rundingan-rundingan TPP, yang membabitkan AS dan lapan lagi negara anggota TPP iaitu Australia, Brunei Darussalam, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam serta Kanada dan Mexico yang sedang bersiap-siap untuk menyertai TPP, setakat ini sudah mencapai 15 pusingan.

Semasa pusingan ke-15 di Auckland, New Zealand Disember lepas, kesemua 11 pemimpin negara anggota TPP bersetuju dengan akses menyeluruh ke pasaran satu sama lain dalam semua bidang.
Pusingan rundingan ke-16 akan diadakan di Singapura dari 4 hingga 13 Mac. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment