My Add

Monday 29 July 2013

1,800 anggota JPJ bertugas sempena Aidilfitri

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU, ISNIN, 29 Julai, 2013: Seramai 1,800 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditugaskan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri mulai 1 hingga 18 Ogos ini di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, jumlah anggota yang terlibat ditambah berbanding 1,500 orang pada operasi sama tahun lalu bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya ditingkatkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

"Operasi ini turut melibatkan tugas penyamaran oleh anggota penguat kuasa JPJ yang akan menaiki bas ekspres dan mereka akan merekod kesalahan pemandu bas dan mengeluarkan saman serta-merta sekiranya didapati melakukan kesalahan jalan raya.

"Selain itu, JPJ juga akan menjaga 72 kawasan di seluruh negara yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan, manakala 74 kawasan lagi dijaga oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam sidang akhbar sempena Ops Khas Motosikal di Kilometer 5, Jalan Johor Bahru-Skudai di sini.

Ismail berkata, pihaknya bercadang menubuhkan Skuad Muda 1JPJ pada tahun ini dengan ahlinya terdiri daripada persatuan atau kelab pemilik kenderaan di negara ini yang akan menjadi petugas sukarelawan.

Menurutnya, skuad itu nanti berperanan membantu anggota penguat kuasa menjalankan tugas ketika operasi selain menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya kepada JPJ.

Mengulas Operasi Khas Motosikal tersebut, beliau berkata, operasi tersebut dijalankan serentak di 60 lokasi di seluruh negara bermula pukul 8 hingga 12 malam melibatkan 700 anggota penguat kuasa terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.

"Setakat pukul 9.30 malam, sebanyak 2,213 kesalahan penunggang motosikal dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu. Sebanyak 62 buah motosikal disita, manakala enam remaja yang didapati positif dadah turut ditahan," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment