My Add

Monday 29 July 2013

UMNO Selangor perkukuh perpaduan antara ahli - Noh Omar

TANJONG KARANG, ISNIN, 29 Julai, 2013: Badan Perhubungan UMNO Selangor akan menumpukan usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan para pemimpin dan ahli di peringat bahagian hingga ke akar umbi bagi memastikan kekuatan parti dapat dikekalkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya sudah turun padang melakukan dialog dan mendengar pandangan daripada para pemimpin dan ahli di 20 UMNO bahagian negeri ini.

"Setakat ini kita lihat semangat ahli-ahli UMNO masih kuat dan kita perlu mempertingkatkan perpaduan. Langkah pertama kita ialah hendak rapatkan hubungan di semua peringkat.

"Ini agenda kita, tidak ada kejayaan tanpa kekuatan dan tidak ada kekuatan tanpa perpaduan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di kediamannya di sini semalam.

Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Noh mengambil alih tempat beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri manakala jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dipegang oleh Ketua UMNO Bahagian Selayang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukur Idrus.

Noh berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberikan kepercayaan kepadanya menerajui UMNO negeri.

"Saya sedar dan insaf bahawa tugas ini bukan satu perkara yang mudah untuk dijadikan satu kebanggaan atau glamor tetapi perkara itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang berat.

"Kerajaan negeri pun sudah dua penggal dipegang oleh parti pembangkang, sudah tentu pengaruhnya sudah mula berkembang, ibarat pokok, akarnya sudah meresap ke bawah. Ini adalah satu cabaran kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment