My Add

Tuesday 30 July 2013

6,000 graduan PhD sasaran dilahirkan menjelang 2023 - Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Kerajaan mensasarkan seramai 6,000 graduan Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023 dalam usaha melahirkan pakar pelbagai bidang bagi memajukan dasar perindustrian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini bahawa sasaran itu merupakan mekanisme bagi mewujudkan kelompok sumber manusia berpengetahuan tinggi.

Katanya graduan itu akan menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan selaras dengan kewujudan beberapa universiti berstatus penyelidikan termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Kapasiti institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta juga dipertingkat bagi menambah pakar pelbagai bidang dengan 65 IPT awam dan swasta yang ada," katanya menjawab soalan Senator Dr Ariffin SM Omar mengenai langkah kerajaan memastikan penambahan pakar dalam pelbagai bidang di negara ini.

Abdul Wahid berkata kerajaan telah menubuhkan empat universiti teknikal seperti Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussin Onn Malaysia serta berjaya melahirkan 7,743 graduan teknikal berdaya saing tahun lepas.

Abdul Wahid berkata kerajaan turut mengadaptasi kaedah pengwujudan tenaga kerja mahir dari beberapa negara luar dengan mewujudkan beberapa institut latihan teknikal antaranya Institut Jerman-Malaysia, Institut Brtish-Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur-Perancis.

Tahun lepas, katanya, institut-institut itu menghasilkan 2,636 graduan berkemahiran tinggi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri negara.

Beliau berkata jalinan kerjasama IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran dengan peneraju teknologi global turut membantu mendorong tenaga kerja muda memacu ke arah transformasi ekonomi Malaysia.

Pada Jun tahun lepas, program Crest (Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi) yang melibatkan kerjasama 10 syarikat sektor elektrik dan elektronik dengan agensi kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, telah dilancarkan bagi merealisasikan hasrat melahirkan pakar-pakar tempatan.

"Kerjasama ini dapat membangunkan tenaga kerja teknikal berkaitan industri bagi memastikan pembangunan mapan industri elektronik berteknologi tinggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment