My Add

Friday 5 July 2013

Bantuan perkasakan masyarakat luar bandar

YOGYAKARTA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Malaysia berhasrat memperkasakan masyarakat luar bandarnya untuk membolehkan mereka mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat demokratik dan mampu menguasai pembangunan sendiri, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Kerajaan, kata beliau, amat yakin masyarakat luar bandar memiliki potensi ekonomi yang besar dan dalam jangka panjang, kawasan luar bandar akan dapat berdikari sepenuhnya dari segi sosial dan ekonomi.

Untuk mencapai objektif ini, kerajaan menerima hakikat bahawa masyarakat luar bandar perlu mempunyai infrastruktur yang menggalakkan kemasukan pelaburan dan kegiatan keusahawanan. 

Pelaburan yang dimaksudkan termasuk jalan raya yang baik, penyediaan kemudahan perumahan secara berterusan, bekalan utiliti yang lebih baik, pendidikan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih sempurna.

"Di bawah inisiatif GTP: 2.0 NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI NKRA), kami menumpukan usaha terhadap penyampaian infrastruktur asas luar bandar untuk mencapai dua matlamat jangka panjang: meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia di luar bandar dan menambah akses kepada pasaran, yang seterusnya akan menambah baik kedudukan ekonomi dan kehidupan," katanya ketika berucap pada mesyuarat Asean peringkat menteri mengenai pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan kelapan (AMRDPE Ke-8) di sini.

Beliau membentangkan kenyataan Malaysia pada mesyuarat itu. Mesyuarat berkenaan, yang bertemakan 'Meningkatkan Keperkasaan Masyarakat Untuk Meningkatkan Kesejahteraan Kehidupan', dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Indonesia Roy Suryo. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment