My Add

Friday 5 July 2013

Jaga adab berkempen semasa Ramadan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Calon atau penyokong yang terbabit dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai ini dinasihat menjaga akhlak dan adab sepanjang berkempen sebagai menghormati bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata memandangkan ia diadakan pada bulan Ramadan, kempen yang dijalankan seharusnya tidak tercemar dengan hal-hal tidak baik.

"Saya mengharapkan sepanjang tempoh penamaan calon sehinggalah tarikh pilihan raya, kita harus menjaga akhlak dan adab kita masing-masing. Lebih-lebih lagi dalam bulan yang amat besar nilainya bagi umat Islam," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Ramadan TV Al Hijrah di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, Terengganu ditetapkan pada 24 Julai, pengundian awal 20 Julai manakala tarikh penamaan calon ialah 12 Julai.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata tindakan sebuah pasar raya besar yang meletakkan gambar arak dalam sisipan iklannya sempena promosi Ramadan disifatkan sebagai satu penghinaan untuk umat Islam dan meminta pasar raya itu memohon maaf.

Terdahulu dalam ucapannya Jamil Khir berkata sepanjang Ramadan ini, TV Al Hijrah akan bersiaran selama 24 jam dengan menyediakan pelbagai program keilmuan.

Antara yang menarik ialah dokumentari 30 episod bertajuk Ayat Riwayat yang merungkai pegangan dan kepercayaan kaum Bani Israel terhadap tanah yang dijanjikan Allah sebagai negara mereka.
Dalam pada itu Jamil Khir berkata stesen itu kini berada di satu lagi platform untuk bersiaran iaitu NJOI, perkhidmatan TV satelit tanpa langganan.

"Seramai 264,000 pelanggan NJOI kini boleh menikmati program TV Al Hijrah mulai 18 Jun lepas. Kita hanya perlu membayar sekali sahaja seumur hidup tanpa ada bayaran bulanan," katanya.

Beliau berkata ini bermakna, selain siaran secara percuma, TV Al Hijrah juga boleh diakses di semua platform utama media iaitu Astro, HyppTV, 1Malaysia IPTV dan NJOI. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment