My Add

Monday, 29 July 2013

Cubaan naikkan harga ayam saat akhir disiasat

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

ALOR GAJAH, ISNIN, 29 Julai, 2013: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri akan menjalankan pemantauan dan siasatan berhubung dakwaan harga ayam akan naik mendadak menjelang Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, permintaan bagi ayam dijangka meningkat dalam tempoh berkenaan yang mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa harga ayam akan dinaikkan di peringkat pemborong lagi atas alasan tertentu yang menyebabkan peniaga terpaksa menjual dengan harga lebih tinggi kepada pengguna.

"Kerajaan negeri akan pastikan perkara ini tidak berlaku dan pihak PPDNKK juga kini giat menjalankan siasatan dan mencari kaedah yang sesuai bagi menangani masalah berkenaan.

"Minggu terakhir Ramadan adalah tempoh kritikal yang sering digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga membelakangkang peraturan dan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Alor Gajah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Jamil Buang.

Latiff berkata, PPDNKK negeri juga telah menggerakkan anggotanya ke seluruh lokasi jualan bahan mentah termasuk pasar, pasar tani dan pasar raya serta menubuhkan bilik gerakan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa selama 17 hari bermula Jumaat lepas.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan kepada PPDNKK sekiranya terdapat kesukaran mendapatkan bahan mentah seperti ayam dan daging serta boleh juga melaporkan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment