My Add

Tuesday 2 July 2013

Elak penularan penyakit berjangkit

KOTA BHARU, ISNIN, 01 Julai, 2013: Penghisap shisha berisiko mendapat penyakit berjangkit kerana saling berkongsi peralatan yang sama untuk menghisapnya.

Sehubungan itu, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan (gambar) menyifatkan langkah pengharaman menghisap shisha oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis amat wajar bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

"Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan perbuatan ini boleh membantu proses penularan penyakit kerana mereka berkongsi menggunakan peralatan menghisap yang sama.

"Keadaan ini juga menyebabkan penghisap lebih berisiko mendapat Hepatitis serta penyakit lain yang boleh merebak melalui bawaan air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Kementerian Kesihatan yang sedang mengkaji bentuk perundangan paling sesuai untuk menguatkuasakan pengharaman shisha di negara ini sebagai langkah mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan pengguna terutamanya golongan belia.

Kelmarin, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Kata Ghazali Hasni, shisha turut mendatangkan kesan bahaya berdasarkan kandungan yang dimasukkan sebagai perisa ketika menghisapnya.

"Kita tidak pasti apa jenis kandungan yang dimasukkan ke dalamnya sehingga menyebabkan penghisap shisha ini mengalami ketagihan.

"Selain itu, kandungan tersebut juga mungkin boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya dimasukkan secara berlebihan tanpa kawalan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ghazali Hasni berkata, setakat ini, kes kencing tikus di negeri ini dalam keadaan terkawal.

"Tiada sebarang kes terbaharu dilaporkan setakat ini, selain satu kes terdahulu yang melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengutamakan aspek kebersihan di sekitar rumah kerana wabak tersebut bukan hanya tertumpu di kawasan sungai sahaja.

"Justeru, tikus perlu dibasmi kerana jangkitan boleh berlaku sama ada jika terminum atau menyentuh air kencing tikus tanpa disedari," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment