My Add

Tuesday 2 July 2013

PDRM perlu bina imej positif

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMI

 * RAJA Nazrin Shah berkata sesuatu kepada A. A. Walter ketika majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, semalam.
SUNGAI SIPUT, ISNIN, 01 Julai, 2013: Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu pasukan polis memberikan perhatian serius dalam usaha memastikan imej pasukan keselamatan itu tidak tercalar dengan menangani persepsi negatif masyarakat secara berkesan.

Baginda bertitah, langkah tersebut wajar dilakukan supaya pasukan polis di negara ini tidak menghadapi masalah krisis keyakinan seperti yang dialami di negara-negara dunia ketiga.

Titah baginda, selain melaksanakan tugas kepolisan seperti pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, keadaan sekarang memerlukan PDRM memberikan tumpuan kepada usaha membina imej positif lagi meyakinkan.

''Reaksi terhadap berita melalui kenyataan yang bersifat impulsif tanpa penelitian dan penghalusan, apabila dilakukan lebih membawa mudarat dan memburukkan imej pasukan," titah baginda ketika merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan kehadiran seorang bekas anggota polis yang pernah bertugas di Balai Polis Sungai Siput dari 1948 hingga 1958, Leftenan (B) A.A Walter yang kini berusia 92 tahun.

Raja Nazrin bertitah, pasukan polis juga perlu melaksanakan program gerak dan perang saraf dengan kaedah lebih berkesan untuk memenangi minda rakyat.

"Di era negara berhadapan dengan ancaman komunis, kebijaksanaan negara mengendalikan perang saraf dan gerak saraf adalah antara instrumen yang berperanan besar sehingga berjaya membawa warga lebih memahami dan menghargai langkah-langkah kerajaan hingga pada akhirnya, musuh negara berjaya disisihkan," titah baginda.

Titah Raja Nazrin, sesuatu maklumat perlu disampaikan secara bijaksana dan tidak berat sebelah supaya rakyat tidak memilih sumber maklumat alternatif yang memisahkan rakyat dengan kerajaan selain menyemai keraguan terhadap pelbagai instrumen kerajaan.

Raja Nazrin bertitah, keyakinan rakyat terhadap polis dapat dipertahankan selagi pasukan itu melaksanakan tugas kepolisan berlandaskan Rukun Negara dan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Pada keseluruhannya, pasukan polis telah menyempurnakan tugas dengan cemerlang, berperanan sebagai tulang belakang menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara hingga membolehkan ekonomi negara berkembang, kemakmuran negara dicapai, keselesaan hidup warga kekal terjamin dan kedaulatan negara dipertahankan," titah baginda. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment