My Add

Friday 5 July 2013

FGV harap kilang getah di Myanmar mulakan operasi

KUALA LUMPUR,  JUMAAT, 05 Julai, 2013: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berharap dapat memulakan operasi kilang pemprosesan getah aslinya di Mynmar tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal dilantik, Mohd Emir Mavani Abdullah.

Disember lepas, FGV memeterai memorandum persefahaman dengan Pho La Min Trading Ltd dari Myanmar untuk meninjau peluang membuka perladangan getah dan membina kilang pemprosesan getah asli di negara itu.

Selain kilang pemprosesan, kumpulan itu juga merancang membangunkan rantaian bekalan yang lengkap bagi tiga perniagaan terasnya - sawit, tebu dan getah - di Myanmar.

Mohd Emir berkata FGV, yang sedang mengkaji lebih 12 cadangan pembelian di Malaysia dan luar negara, dijangka mengumumkan keputusan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata kumpulan itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan pembelian tersebut kerana ia menganggap perniagaan sawitnya sebagai pelaburan jangka panjang.

"Kami berwaspada dan berhati-hati tentang bagaimana kami membeli aset huluan kami.

"Kami akan membuat pelbagai proses penilaian, daripada pengurusan kami kepada jawatankuasa pelaburan kami dan kemudiannya kepada lembaga bagi penilaian.

"Kami akan membeli yang terbaik daripada 12 cadangan itu yang akan memberikan nilai terbaik kepada pemegang saham kami," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan sembilan biasiswa bernilai RM7 juta kepada pelajar, di sini, hari ini.

Dilaporkan bahawa FGV akan menggunakan wang tunainya sebanyak RM6.2 bilion bagi penggabungan dan pengambilalihan.

Sembilan pelajar tersebut, yang dipilih daripada sejumlah 4,947 pemohon yang diterima tahun ini, menerima biasiswa penuh bagi meneruskan pengajian mereka di luar negara di universiti awam dan swasta utama di UK.

Biasiswa itu merangkumi sokongan kewangan, termasuk yuran tuisyen, elaun sara hidup, elaun buku, tesis dan elaun latihan praktikal. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment