My Add

Thursday 4 July 2013

Gubal enakmen bendung penyebaran fahaman, ajaran Syiah

SHAH ALAM, RABU, 03 Julai, 2013: Kerajaan negeri digesa menggubal satu enakmen khusus bagi membendung penyebaran ajaran syiah di negeri ini.

Gesaan itu dikemukakan Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long yang menyifatkan faham tersebut adalah bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah selain menggugat akidah umat Islam di negeri ini.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang enakmen khusus diwujudkan bagi menguatkuasakan penyebaran ajaran syiah meskipun Selangor telah mengeluarkan fatwa mengenai larangan terhadap ajaran itu menerusi warta kerajaan negeri yang diterbitkan pada 24 September 1998.

"Berdasarkan fatwa tersebut, fahaman dan ajaran syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

"Selain itu, fatwa itu turut menyebut bahawa fahaman dan ajaran itu perlu disekat keseluruhannya kerana terdapat percanggahan di dalamnya sama ada dari sudut akidah, syariah dan lain-lain." katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru jelas beliau, fatwa yang dikeluarkan itu telah jelas menyebut mengenai larangan fahaman dan ajaran syiah, namun dari segi penguatkuasaannya masih belum ada.

Maka tegasnya, kerajaan negeri menggubal enakmen mengenai larangan itu supaya aspek penguatkuasaan serta tindakan undang-undang dapat dikuatkuasakan.

Menurut Rosdi, enakmen tersebut dilihat penting bagi memelihara kedudukan umat Islam khususnya di negeri ini daripada sebarang anasir yang boleh mengganggu-gugat akidah mereka.

Ini kerana berdasarkan keadaan semasa ketika ini, umat Islam dilihat berhadapan dengan pelbagai ancaman dari segi akidah mereka ekoran tindakan pihak tertentu yang mempengaruhi umat agama itu sehingga membawa kepada gejala murtad.

"Dengan adanya enakmen ini, kita cukup yakin dapat mengukuhkan lagi perlindungan terhadap umat Islam selain memperhebatkan lagi usaha dakwah," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment