My Add

Thursday 4 July 2013

Golongan muda menganggur digalak ceburi perusahaan getah

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Generasi muda yang menganggur digalakkan melibatkan diri dalam perusahaan getah memandangkan terdapat banyak peluang yang boleh diperoleh menerusi kegiatan tersebut.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, pelbagai skim yang disediakan RISDA boleh dimanfaatkan oleh generasi muda untuk melibatkan diri dalam perusahaan getah.

“Memandangkan terdapat kekurangan penoreh getah, usaha mendekati golongan muda menerusi pelbagai aktiviti giat dijalankan sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Kita menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan kerana menerusi kegiatan itu mereka boleh menjana pendapatan.

“Kita juga memberi pendedahan tentang apa yang terdapat dalam RISDA, bagaimana RISDA boleh membantu mereka dan peluang pekerjaan yang ada seperti menjadi pemborong dan usahawan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Keenam RISDA di Bangunan RISDA di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan pekebun kecil supaya mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka berikutan kebimbangan terhadap kejatuhan harga getah yang agak ketara.

“Kita sedang mencari jalan mempelbagaikan kegiatan pekebun kecil, antaranya melibatkan aktiviti tambahan seperti keusahawanan dan mempelbagaikan kegunaan kebun selain tanaman pokok getah bagi mengimbangi pendapatan mereka," katanya.

Mengulas mengenai projek yang dilaksanakan RISDA, beliau berkata, RISDA sedang membangunkan tanah seluas 6,377 hektar bernilai RM151.5 juta melibatkan Projek Agropolitan Gahai di Lipis, Pahang; Chemomoi di Bentong, Pahang; Ganda di Gerik, Perak; Ulu Awik di Saratok dan Rascom di Sibu, masing-masing Sarawak. - UTUSAN











No comments:

Post a Comment