My Add

Monday 29 July 2013

KDN tangguh tayangan The New Village

Oleh NORAZRIN MARZUKI
 
 * Keratan Mingguan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Filem kontroversi The New Village yang dijadualkan ditayang pada 22 Ogos depan, ditangguhkan sementara Lembaga Penapisan Filem (LPF) menjalankan penelitian plot dan jalan cerita serta mesej tersembunyi di dalam filem itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, filem tersebut dikatakan memuatkan unsur-unsur komunisme dalam beberapa babak selepas dibangkitkan dalam blog tempatan, http://mymassa.blogspot.com.

Justeru katanya, kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana dilaporkan filem itu terlalu mengagung-agungkan perjuangan haluan kiri Parti Komunis Malaya (PKM) pada zaman pemerintahan British.

"Beberapa penulisan dalam media sosial mempersoalkan bahawa filem tersebut mempromosi perjuangan haluan kiri PKM dan kita tidak mahu perkara ini menimbulkan isu sensitif lebih-lebih lagi filem itu dijadual akan disiarkan menjelang hari kemerdekaan negara.

"Jadi kerajaan mengarahkan agar penayangan filem itu ditangguhkan dan mengarahkan LPF yang berada di bawah pengawasan Kementerian Dalam Negeri untuk mengadakan penelitian semula," katanya kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa di Kompleks Jabatan Penjara Sungai Buloh dekat sini hari ini.

The New Village diarahkan oleh Wong Kew Lit dan diterbitkan oleh Astro Shaw berkisar tentang darurat di Tanah Melayu pada 1949 serta mempaparkan PKM dan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan.

Ahmad Zahid berkata, tarikh penayangan filem itu akan diumumkan sejurus selepas penilaian kedua ke atas filem tersebut selesai dijalankan.

"Kementerian Dalam Negeri tidak akan teragak-agak untuk membatalkan kelulusan tayangan filem tersebut sekiranya mengandungi babak yang memaparkan elemen komunisme yang terlalu kuat sehingga merendahkan pengorbanan anggota keselamatan negara.

"Tindakan ini adalah untuk mengadili setiap pendapat orang ramai dan jika tayangan filem ini diteruskan, saya percaya akan menjadi kontroversi," katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan rekod kementerian, permohonan untuk tapisan filem tersebut diterima pada 4 September tahun lalu oleh tiga ahli panel dari LPF sebelum diluluskan tiga hari selepas itu.

Katanya, LPF sebelum ini meluluskan penayangan filem tersebut kerana ahli panel penapis merasakan bahawa babak yang terdapat di dalam filem tersebut mengandungi aksi yang tidak keterlaluan dan perlu dikekalkan untuk menjaga kesinambungan jalan cerita. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment