My Add

Monday 29 July 2013

Malaysia tetap rasa bimbang situasi semasa di Mesir - Anifah

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Kerajaan melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi semasa yang berlaku di Mesir sehingga mengorbankan banyak nyawa dan ribuan yang cedera.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, semua pihak digesa supaya tidak memilih jalan keganasan dan berharap agar penyelesaian secara damai dapat dicapai.

"Malaysia berpandangan bahawa pihak berkuasa di Mesir perlu mengadakan dialog secara serius, melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyatuan dan merangka penyelesaian berkesan serta berpanjangan.

"Sehingga kini, semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir berada dalam keadaan baik dan selamat. Mereka diminta untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, kira-kira 120 penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi ditembak oleh pasukan keselamatan Mesir di Masjid Rabaa al-Adawia di pinggir bandar Kaherah manakala lebih 4,500 orang cedera.

Menurut Anifah, rakyat Malaysia turut diingatkan agar tidak mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang demonstrasi.

"Wisma Putra akan terus memantau situasi di Mesir secara dekat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terjamin," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment