My Add

Tuesday 30 July 2013

Kerajaan kaji pertimbangan bajet ganti pesawat MiG-29N - Najib

PUTRAJAYA, ISNIN, 29 Julai, 2013 : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji pertimbangan bajet bagi kontrak untuk program penggantian MiG-29N.

Beliau berkata: "Kita sedang mengkaji keperluan pertahanan kita di masa depan tetapi ia bukan hanya bertumpu pada keperluan kita di masa depan, tetapi juga persoalan sama ada kita mampu dan juga persoalan daripada segi pertimbangan bajet.”

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Perancis memenangi kontrak bagi program penggantian MiG-29N.

"Kita juga terpaksa bergelut dengan pengurangan defisit fiskal di Malaysia kerana kita perlu perkukuhkan tahap mikro dan fiskal kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Perancis Jean-Marc Ayrault ke Malaysia, di sini hari ini.

Oleh yang demikian, Najib berkata dengan mengambil kira keupayaan sebenar Malaysia, kerajaan perlu mengkaji bukan sahaja pesawat tempur pelbagai peranan tetapi juga perkakasan lain yang perlu dipertimbangkan termasuk helikopter dan senjata.

Katanya ia juga bergantung kepada jenis ancaman yang Malaysia mungkin hadapi dalam masa terdekat dan jangka sederhana, sepertimana yang anda tahu kita pernah berdepan insiden pencerobohan di Sabah.

"Jadi jenis dan tahap ancaman telah berubah dan menjadi semakin berkurangan tetapi masih bahaya, tetapi ia bukan membabitkan perang konvensional klasik.
"Tetapi kita mengambil perhatian kejayaan Rafale dalam pembidaan di India," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis itu turut ditanya sama ada soal cadangan program penggantian pesawat jet pejuang itu ada dibincangkan dengan Najib.

Beliau berkata: "Ada perbincangan berkaitan dengan soal ketenteraan dan pertahanan tetapi Perancis bersedia untuk mengambil bahagian dalam tender itu.

"Tetapi untuk menyatakan jika terdapat sebarang peluang untuk Perancis (memenangi bidaan itu), terpulang kepada Malaysia untuk menyatakannya tetapi yang pasti kami akan ambil bahagian,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment