My Add

Tuesday 30 July 2013

Nadzmi akui tidak dapat formula lahir ramai jaguh badminton negara

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh mengakui sepanjang 13 tahun beliau menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau tidak bertemu formula terbaik untuk melahirkan lebih ramai jaguh badminton dunia dari kalangan pemain negara.

Bekas presiden BAM itu berkata di bawah kepimpinannya, banyak perkara dilakukannya untuk mencapai matlamt itu, namun hasilnya adalah minimum apabila hanya Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang

mampu menempatkan diri mereka dalam kelompok terbaik dunia. Beliau memberitahu bahawa pencapaian pemain Malaysia semakin membimbangkan dan ia menjadi cabaran buat kepimpinan baharu BAM bagi mencari formula terbaik untuk melahirkan pemain Malaysia yang bertaraf dunia.

"Sebagai Presiden BAC (Konfederasi Badminton Asia), kami ada berbincang bagaimana negara seperti China dan Korea Selatan begitu mendadak pencapaian mereka dalam melahirkan pemain-pemain hebat. Mereka melakukan sesuatu yang mana orang lain tidak tahu.

"Jika kita masih menggunakan taktik sama seperti yang dilakukan Indonesia dan Thailand, kita tetap tidak akan berubah. China telah melakukan pendekatan baru, kita perlu mendapat mencari formula itu. Kalau kita kekal dengan cara lama, saya tidak yakin Malaysia dapat kekal dengan kejayaan sekarang," katanya.

"Masalahnya siapa yang akan beri kaedah baharu itu. Bagi saya ia satu proses. Kita perlu melabur dengan orang yang betul dan pengurusan yang betul, baharu kita boleh mendapat jawapannya," kata Mohd Nadzmi.

Beliau berkata skuad negara memerlukan pakar psikologi khusus yang mempunyai minat serta memahami tentang badminton supaya mereka dapat membantu pemain kebangsaan mempersiapkan mental dan fizikal terutama ketika menghadapi kejohanan.

"China juga tiada formula itu (pakar psikologi khusus), tetapi mereka menggabungkan semua sumber yang ada sehingga mencetuskan satu sistem baharu. Begitu juga Korea Selatan. Saya akui tidak menemui formula seperti dilakukan China dan Korea Selatan dalam meningkatan prestasi atlet mereka," katanya.

Mohd Nadzmi yakin kepimpinan baharu BAM yang diketuai, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mampu mencari formula itu untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan dalam melahirkan pemain bertaraf dunia.

Pada Menyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM Sabtu lepas, Tengku Mahaleel yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad dipilih sebulat suara sebagai presiden baru BAM.

Menyuarat itu juga menyaksikan semua anggota gabungan badan sukan itu bersetuju mengekalkan Datuk Dr Ir Mohamed Al-Amin Abd Majid sebagai Timbalan Presiden I dan memilih Datuk Mohamad Norza Zakaria sebagai Timbalan Presiden II untuk penggal 2013-2017. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment