My Add

Tuesday 2 July 2013

Kes Tian Chua, Adam Adli, 4 aktivis pembangkang 20 Ogos

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 20 Ogos depan untuk pengurusan kes Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim dan empat lagi aktivis pembangkang yang didakwa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina, Mei lalu.

Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan salinan laporan polis dan cakera padat rakaman ceramah pada 13 Mei lalu kepada pihak pembelaan.

"Saya dimaklumkan berdasarkan dokumen yang telah diberikan, pihak pembelaan akan membuat beberapa permohonan sama ada di mahkamah ini (Mahkamah Sesyen) atau Mahkamah Tinggi," katanya ketika kes itu disebut hari ini.

Pada 23 Mei lalu, Adam Adli, 25, mengaku tidak bersalah atas dakwaan memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu pada 29 Mei lalu, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang bersama Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Muhammmad Safwan Anang @ Talib, 24, ahli PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 63, serta dua aktivis pembangkang Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, dan Hishamuddin Md Rais, 62, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama pada masa dan tempat sama mengikut seksyen yang sama.

Barisan pembelaan diketuai peguam Gobind Singh Deo. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment