My Add

Tuesday 2 July 2013

Kos pembantu rumah relevan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 203: Kos baharu pengambilan pembantu rumah warga Indonesia sebanyak RM8,000 disifatkan relevan dan selaras dengan permintaan dan bekalan pasaran dari republik itu.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata, kos itu mungkin tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi orang ramai perlu tahu tawaran harga dari negara lain juga semakin meningkat.

“Bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 sebelum ini terlalu rendah sehinggakan pihak Indonesia tidak berminat berurusan dengan kita.

“Harga RM8,000 adalah wajar kerana berasaskan harga pasaran bersesuaian dengan kos tinggi melibatkan pemprosesan pasport dan penaja di Indonesia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia pada kadar RM8,000 setelah mengambil kira kos yang wujud antara kedua-dua negara.

Muhyiddin berkata, keputusan penetapan kos tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik Indonesia di Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011 yang tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku Muhsein berkata, keputusan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan tersebut diterima pihaknya secara terbuka.

“Bagaimanapun, kami berharap kenaikan harga itu akan bertahan lama," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment