My Add

Thursday 4 July 2013

Laporan, kos Buletin Mutiara dipertikai

PULAU PINANG, RABU, 03 Julai, 2013: Seperti mulut sudah digam, kesemua 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri hanya diam membisu apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh akhbar rasmi kerajaan DAP Pulau Pinang, Buletin Mutiara yang dicetak dan edarkan dua kali sebulan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Air Tawar) yang membangkitkan perkara itu berkata, Buletin Mutiara dilihat memaparkan laporan tidak seimbang apabila berita yang disiarkan berbeza mengikut edisi bahasa.

"Berita dalam bahasa Melayu tidak sama dengan edisi bahasa Mandarin.

"Kandungan berita juga tidak menyeluruh dan sepatutnya maklumat untuk rakyat perlu disebarkan kepada semua tanpa sebarang perbezaan kaum dan saya melihat ia seperti medium Ketua Menteri untuk menonjolkan diri sendiri sahaja," katanya ketika membahas usul ucapan Yang Dipertua Negeri di sini hari ini.

Jahara dalam pada itu menambah, kos penerbitan akhbar berkenaan juga dilihat meningkat terlalu drastik.

"Buletin Mutiara mula diterbitkan semasa zaman Barisan Nasional (BN) lagi dan ketika itu kosnya hanya RM200,000 untuk setahun tetapi kini kosnya RM1.4 juta sebulan.

"Ini menunjukkan satu perbelanjaan yang besar digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, dalam nada sama Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menegaskan, tidak sepatutnya wujud perbezaan laporan berita yang disiarkan mengikut bahasa digunakan.

"Perbezaan ini tidak adil dan tidak telus kerana maklumat yang diterima rakyat sudah tentu berbeza mengikut bahasa yang digunakan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment