My Add

Monday 29 July 2013

MAIWP bina kompleks penginapan HKL bernilai RM4 juta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Sebuah kompleks penginapan berharga RM4 juta bagi memberi kemudahan penginapan sementara kepada pesakit dan keluarga pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka dibina penghujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembinaan kompleks itu, yang dibiayai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mampu menempatkan sehingga 400 orang pada satu-satu masa.

"Tumpuannya bagi pesakit HKL yang datang dari jauh dan bagi mereka tidak berkemampuan. Kita dalam perbincangan akhir bersama HKL dan tender pembinaannya akan dibuka sebelum penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri MAIWP kepada empat hospital di sini hari ini.

Sumbangan MAIWP bernilai RM1 juta itu diagihkan kepada HKL, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, masing-masing menerima RM300,000 manakala Hospital Putrajaya menerima RM100,000.

Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP berkata, kompleks itu akan dibina berdekatan bangunan Pusat Perubatan Malaysia, Jalan Pahang, di sini manakala caj harian penginapan akan ditetapkan kemudian.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata pengembangan fahaman Syiah di negara ini adalah dilarang sama sekali.

"Selalu kita tekankan, tidak kira parti politik ataupun pegangan, ajaran Syiah dalam negara tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan penganjur ratu cantik mengecualikan segmen pakaian mandi dalam pertandingan itu bagi membolehkan wanita Muslim menyertainya, Jamil Khir menegaskan, bahawa wanita Muslim tetap tidak boleh menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik.

"Jawatankuasa Fatwa tidak sebut pasal baju, ia kata pertandingan ratu cantik tidak dibenarkan," katanya sambil menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu.

Terdahulu, Jamil Khir turut melawat wad Oftamologi HKL dan menyampaikan sumbangan MAIWP berupa hamper dan wang tunai kepada 36 pesakit. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment