My Add

Monday 29 July 2013

Felcra bayar dividen RM33.15 juta kepada Kerajaan Kedah

ALOR SETAR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Felcra Berhad hari ini membayar dividen terkumpul sebanyak RM33.15 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 kepada kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menerima cek pembayaran itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu Bakar di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini.

Ramlee berkata, dividen tersebut adalah hasil pendapatan tanaman getah membabitkan 13 projek seluas 2,280 hektar yang diusahakan Felcra di enam daerah di Kedah.

"Dividen ini merupakan yang terbesar dibayar oleh Felcra Berhad kepada kerajaan negeri sejak mengusahakan tanah tersebut lebih 20 tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek itu.

Ramlee berkata, pembayaran itu merupakan yang kelima ditunaikan oleh Felcra Berhad kepada kerajaan negeri dan jumlah keseluruhan adalah RM45.35 juta.

Katanya, lapan projek membabitkan pokok getah berusia lebih 25 tahun dan tidak lagi produktif sedang dalam proses untuk ditanam semula.

Mengenai tuntutan untuk mendapat hak milik 1,500 hektar dari 2,280 hektar tanah yang diusahakan itu, beliau berkata kerajaan negeri Kedah masih menimbang permohonan Felcra Berhad.

Ramlee berkata, semua peserta rancangan Felcra Wilayah Utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) telah menerima dividen untuk tahun 2012 berjumlah RM6.69 juta baru-baru ini.

Kedah merupakan penerima terbesar sebanyak RM4.2 juta membabitkan kira-kira 5,800 peserta, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment