My Add

Tuesday 2 July 2013

Malaysia rancang pelbagaikan eksport ke Jepun

KOBE, Jepun, ISNIN, 01 Julai, 2013: Malaysia mahu mempelbagaikan produk eksportnya ke Jepun bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport sedia ada serta memberi lebih banyak pilihan kepada pasaran negara itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hampir separuh daripada eksport Malaysia ke Jepun merupakan gas asli cecair (LNG) manakala selebihnya merupakan produk berasaskan perkayuan dan barangan elektrik serta elektronik.

''Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai produk yang mampu ditawarkan kepada Jepun selain daripada LNG.

''Hal ini kerana, di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), kita boleh mengeksport lebih banyak dalam sektor perkhidmatan, kelapa sawit, pelancongan, penjagaan kesihatan, pertanian dan perkhidmatan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Seminar Peluang Perniagaan di Malaysia di Hotel Portopia, yang turut disertai 25 anggota delegasi perdagangan Malaysia, di sini hari ini.

Mustapa ketika ditanya mengenai rancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat serantau kepada syarikat-syarikat antarabangsa berkata, banyak perkara yang boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat-syarikat itu.

Katanya, Malaysia telah pun menarik minat syarikat seperti GE, BASF, NEC, Hitachi, American Express dan pelbagai lagi untuk membuka ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.

''Daripada segi kos, Malaysia lebih kompetitif berbanding beberapa negara jiran lain sementara lokasinya yang mudah dihubungi sama ada dari laut mahupun udara serta kemudahan infrastruktur yang baik dan tenaga kerja yang berbakat," katanya.

Mustapa menjelaskan, selain menarik syarikat gergasi Jepun melabur di Malaysia, kerajaan juga mempelawa lebih banyak syarikat industri kecil dan sederhana Jepun supaya melabur di Malaysia.

''Kita mempunyai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang boleh membantu syarikat-syarikat ini melabur di Malaysia,'' katanya menambah, Jepun merupakan rakan dagang ketiga terbesar dengan Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment