My Add

Tuesday 30 July 2013

Miss Malaysia World 2013 disertai 15 finalis tanpa peserta Islam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Pertandingan Miss Malaysia World 2013 bermula hari ini dengan disertai oleh 15 finalis ekoran empat peserta beragama Islam dibatalkan penyertaan.

Penganjur pertandingan itu, Datuk Anna Lim berkata, pihaknya akur dengan fatwa yang menghalang penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik.

"Saya telah dimaklumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali petang tadi bahawa fatwa larangan itu adalah kekal dan penyertaan empat finalis beragama itu tidak dibenarkan.

"Namun, kita ada menjemput mereka sebagai tetamu bagi melihat rakan-rakan lain meneruskan program pertandingan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Program yang bermula dengan pelbagai latihan dan tunjuk ajar hari ini adalah sebagai persiapan untuk acara kemuncak pada 2 Ogos nanti yang mana salah seorang daripada mereka akan menjadi Miss Malaysia.

Sebelum ini, penyertaan empat finalis beragama Islam mendapat perhatian ramai ekoran terdapat fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Fatwa itu diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Bahagian Penguatkuasa Jawi juga telah membuka kertas siasatan berhubung peserta tersebut yang dikatakan tetap berkeras bertanding merebut gelaran Miss Malaysia World 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment