My Add

Tuesday 30 July 2013

76 miskin mangsa 'pilihan raya' masjid

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

 *MOHD. Noor Ibrahim menunjukkan surat 'penggantungan' jawatankuasa masjid yang dikeluarkan oleh MAIPP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 29 Julai, 2013: Akibat 'tamak' kuasa dalam jawatankuasa masjid, penduduk kampung yang kurang berkemampuan menjadi mangsa sehingga bantuan Hari Raya Aidilfitri masih belum diterima meskipun hari lebaran itu bakal tiba kira-kira 10 hari lagi.

Seramai 76 penerima zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang majoritinya warga emas terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan mereka tidak mendapat bantuan berkenaan pada tahun ini kerana jawatankuasa kariah masjid yang menguruskan perkara itu kini 'digantung'.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Alma, Mohd. Noor Ibrahim berkata, perkara berkenaan berlaku apabila pihak yang kalah dalam pemilihan jawatankuasa masjid pada 21 April lalu tidak berpuas hati dan membuat aduan kepada MAIPP.

"Susulan daripada aduan mereka, kariah yang dipilih dalam pemilihan telah menerima surat pada 21 Mei lalu daripada MAIPP memaklumkan mengenai penangguhan pelantikan.

"Di sinilah masalah bermula apabila banyak aktiviti kebajikan tidak dapat dijalankan," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan dengan kira-kira 30 orang penerima zakat bagi memberi penjelasan mereka tidak menerima wang berkenaan yang berjumlah antara RM400 dan RM450 seorang tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata, ekoran surat yang dikeluarkan oleh MAIPP itu, jawatankuasa kariah masjid berkenaan berada dalam keadaan 'tergantung' dan tidak dapat menjalankan tugas selain terpaksa menangguhkan beberapa aktiviti yang biasanya dilakukan ketika bulan Ramadan.

"Ini termasuklah tidak dapat mengeluarkan wang berjumlah lebih RM30,000 di bank untuk diagihkan kepada penerima zakat kerana penggantungan terbabit.

"Sebenarnya pihak yang kalah ini mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik tertentu dan ingin memegang jawatan dalam kariah Masjid Alma namun tidak terpilih.

"Lihatlah kesan yang berlaku akibat tindakan mereka dan penerima zakat yang majoritinya warga emas turut menjadi mangsa," katanya.

Sementara itu, seorang penerima zakat, Zainab Baharom, 83, berkata, dia sudah menerima bantuan berkenaan sejak lebih 20 tahun dahulu dan tidak pernah disekat sebelum ini.

"Saya berasa terkejut apabila dimaklumkan bahawa mereka tidak dapat serahkan wang zakat pada tahun ini kerana masalah yang timbul.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kalau dapat wang berkenaan sudah pasti dapat meringankan beban dan boleh digunakan untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Seorang lagi penerima, Bezah Ibrahim, 75, berkata, dia berharap sangat untuk menggunakan wang zakat sebanyak RM450 itu bagi membuat persiapan hari raya untuk anak dan cucunya.

"Kalau dapat boleh saya gunakan untuk membeli ayam dan daging dan memasak juadah sempena sambutan perayaan nanti.

"Namun, apabila keadaan jadi macam ini, saya kecewa dan kini hanya berharap kepada anak-anak sahaja untuk belanja pada hari raya," katanya.

Ismail Ibrahim, 79, pula berkata, dia sedih kerana perselisihan yang berlaku menyebabkan orang kampung terutamanya warga emas menjadi mangsa.

"Apabila perkara ini berlaku, saya berasa tidak seronok apatah lagi ia bersangkut paut dengan masjid iaitu tempat orang Islam bersembahyang dan bersatu-padu.

"Jadi, saya harap pihak bertanggungjawab dapat selesaikan perkara ini secepat mungkin untuk kebaikan bersama," katanya.

Seorang penerima, Siti Nabom Nayan, 78, berkata, dia berasa terkejut kerana perkara berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini.

UMNO negeri baru-baru ini melahirkan kekesalan dengan proses pilihan raya bagi memilih jawatan kuasa masjid yang sedang berlangsung kerana didapati tidak telus dan tidak mengikut prinsip demokrasi yang sering dilaung-laungkan oleh pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan calon yang kalah tetap dipilih memegang jawatan dalam jawatankuasa kariah masjid .

Sebaliknya calon yang menang pula disingkir dan tidak mendapat tempat dalam jawatankuasa berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment