My Add

Wednesday 3 July 2013

Najib mahu belia buat perubahan secara produktif

LONDON, RABU, 03 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia yang sanggup membuat perubahan, supaya melakukannya dengan cara yang produktif.

Beliau berkata, bagi mereka yang mahu membuat perubahan dengan membawanya ke jalan raya, mereka seharusnya tahu sama ada ia akan menjadikan negara lebih baik atau sebaliknya.

Najib berkata demikian ketika melancarkan Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pembukaan pusat itu, dengan kerjasama Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (Ireland) (UKEC), di London adalah satu lagi tanda kejayaan iM4U.

Najib, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, berkata untuk membantu memulakan kerjasama antara UKEC dan iM4U, geran sebanyak 10,000 pound (RM48,234) dari Tabung DRe1M iM4U akan diguna untuk 10 inisiatif pertama outreach.

"Penuntut di UK boleh memohon peruntukan itu melalui Persatuan Penuntut Malaysia di universiti masing-masing atau melalui UKEC secara terus," katanya.

Najib berharap iM4U akan menjadi permulaan untuk satu pergerakan lebih besar yang boleh membawa perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat dan negara.

"Apabila iM4U diwujudkan, saya impikan pertubuhan itu akan menjadi besar. Saya mahu iM4U ke peringkat global. Saya impikan bahawa satu hari nanti belia negara kita dan negara lain akan bersatu dalam usaha untuk membantu bukan sahaja antara satu sama lain, tetapi juga masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, pada masa itu, dengan semangat idealisme yang segar, rakyat Malaysia dan negara lain akan bersatu dalam berusaha ke arah kesempurnaan yang mencerminkan semangat kesukarelaan dalam diri mereka.

Sejak dilancarkan tahun lalu, iM4u mempunyai 100,000 anggota berdaftar dan melalui kerjasama dengan UKEC, ia memperoleh tambahan 17,000 anggota, termasuk 2,000 di Ireland, katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment