My Add

Monday 29 July 2013

Nasmir Holdings labur RM20 juta industri gelatin halal

BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 29 Julai, 2013: Nasmir Holding (PP) Sdn. Bhd. - syarikat pengeluar kapsul gelatin halal - melabur RM20 juta untuk menaik taraf produk dan membeli tiga mesin baharu tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, sebanyak RM15 juta digunakan untuk menaik taraf gred gelatin berkenaan supaya sesuai dengan gred peringkat antarabangsa manakala RM5 juta lagi adalah untuk pembelian tiga mesin baharu.

"Kapsul gelatin yang dihasilkan sekarang ini memang berkualiti dan ia setaraf produk India serta Eropah, namun tahun ini kita telah naik taraf gelatin itu sejak empat bulan lepas kepada gred antarabangsa bagi memudahkan ia dipasarkan di luar negara.

"Setakat ini, syarikat telah berjaya menembusi pasaran beberapa negara seperti Vietnam, Colombia, Thailand dan India, dan terbaharu, kita cuba masuk pasaran Chile serta Pakistan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan memberi sumbangan Aidilfitri kepada 800 anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin, di Auto City, Juru di sini malam tadi.

Gelatin yang dihasilkan oleh Nasmir Holdings itu menggunakan tulang lembu yang boleh diimport dari beberapa negara yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kadhar Shah berkata, menerusi pembelian tiga mesin baharu itu, syarikatnya mampu meningkatkan pengeluaran kapsul gelatin daripada 1 bilion kapsul kepada 1.5 bilion kapsul setiap bulan.

Katanya, setakat ini syarikat itu mempunyai enam mesin dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan kapsul gelatin halal berkenaan.

"Sekarang kita keluarkan 1 bilion kapsul setiap bulan dan ia tidak cukup untuk tampung permintaan, dan sebab itu syarikat akan beli mesin baharu, supaya lebih banyak kapsul gelatin halal mampu dikeluarkan.

Beliau berkata, sebanyak 60 peratus pengeluaran dieksport manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

"Saya berharap syarikat farmasi dalam negara dapat mengubah mentaliti dengan menganggap produk antarabangsa sahaja bagus sedangkan produk tempatan seperti gelatin halal ini tidak kurang bagusnya, malah kita mendapat permintaan yang baik dari luar negara," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment