My Add

Tuesday 2 July 2013

Pegawai SPR, pengurus syarikat didakwa terima rasuah

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seorang pengurus operasi syarikat pengangkutan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM80,000 berhubung pembekalan kenderaan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Bahagian Analisis Data SPR Putrajaya, Muhammad Firdaus Mohd Ramli, 34, dan Pengurus Operasi Mega Lavende Sdn Bhd, Fizal Kamarudin@Fauzi, 33, didakwa menerima wang itu daripada ahli perniagaan, Mohd Noor Mokhid sebagai upah kerana membantu syarikatnya, Southair Travel and Tours Services Sdn Bhd, dilantik sebagai pembekal kenderaan bagi kegunaan pemerhati asing semasa PRU13.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Al-Rawsha, No 8 Jalan Kampung Pandan di sini pada 1 tengah hari, 16 Okt 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada SPRM menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh dengan alasan kes itu berkepentingan awam dan jumlah itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan selain memberi jaminan anak guamnya itu tidak akan melarikan diri dan akan hadir pada perbicaraan.

"Muhammad Firdaus merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai dua anak manakala Fizal mempunyai seorang anak yang sedang menerima rawatan kimoterapi kerana menghidap leukimia dan dia perlu bersama dengan anaknya bagi tujuan rawatan itu," katanya yang menambah tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes.

Mohd Sophian turut memaklumkan Fizal akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas pertuduhan meminta rasuah. - BERNAMA ......

No comments:

Post a Comment