My Add

Tuesday 30 July 2013

Pelantikan Tengku Mahaleel direstui 'orang lama' BAM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Pemilihan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru mendapat restu 'orang lama' BAM yang menyifatkan beliau mampu melonjakkan kembali kegemilangan badminton negara.

Bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar (1985-1993), berkata pemilihan Tengku Mahaleel, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad bagi menerajui badan induk itu, merupakan keputusan yang tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam arena badminton tanah air.

"Seingat saya, ketika saya memegang tampuk kepimpinan BAM, beliau (Tengku Mahaleel) sudah menjadi anggota majlis (BAM). Dengan penglibatan beliau yang agak lama dalam BAM, memang dia calon yang sangat sesuai bagi jawatan tersebut menggantikan (Datuk Seri Mohd) Nadzmi (Mohd Salleh).

"Saya yakin Tengku Mahaleel dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna dan saya tiada pengalaman bekerja dengan Al-Amin. Saya meletakkan sepenuh harapan kepada Tengku Mahaleel untuk membawa perubahan positif kepada BAM," kata Elyas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada mesyuarat agung tahunan BAM Sabtu lepas, Tengku Mahaleel, 66, dipilih anggota gabungan BAM bagi menggantikan Mohd Nadzmi yang tidak mempertahankan jawatannya itu kerana terpaksa memberi tumpuan selepas dipilih sebagai presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC), pada Mac lepas.

AGM badan induk itu turut menyaksikan semua anggota gabungan bersetuju mengekalkan Datuk Ir Mohamed Al-Amin Abd Majid sebagai Timbalan Presiden I dan memilih Datuk Mohamad Norza Zakaria sebagai Timbalan Presiden II yang baharu bagi penggal 2013-2017

Ditanya kedudukan Mohd Nadzmi yang dipilih sebagai Presiden Kehormat BAM Elyas berkata beliau tidak mengetahui jawatan itu wujud dalam badan induk berkenaan.

"Sebelum ini, memang tiada orang pernah memegang jawatan itu. Ia mungkin baru diwujudkan, saya pun tidak pasti. Sama ada jawatan baharu itu relevan atau tidak, saya pun tidak mahu beri sebarang komen...saya tidak tahu apa tugasnya," kata Elyas.

Dua hari lepas, setelah melepaskan jawatannya sebagai Presiden BAM, anggota majlis sebulat suara melantik Mohd Nadzmi sebagai Presiden Kehormat badan induk itu.

Difahamkan keputusan melantik Mohd Nadzmi memegang jawatan itu adalah sebagai langkah 'menang-menang' terhadap segelintir anggota majlis yang tidak bersetuju Tengku Mahaleel dipilih menjadi presiden BAM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment