PUTRAJAYA,, ISNIN, 29 Julai, 2013: Perbicaraan kes wanita yang menghadapi tuduhan mengamuk bersenjatakan pedang di luar Kompleks Jabatan Perdana Menteri, ditangguh lagi apabila peguam mengemukakan sijil cuti sakit tertuduh untuk sebulan.
M.Visvanathan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa anak guamnya, Muhdalena Ahmad, diberi cuti sakit mulai 26 Julai hingga 23 Ogos oleh pakar psikiatri Dr Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya kerana masih didiagnos mengalami kemurungan
Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditangguhkan pada 12 Jun setelah peguam mengemukakan alasan Muhdalena tidak sihat untuk hadir perbicaraan dari 11 Jun hingga 11 Julai.
Sementara itu, Visvanathan memberitahu Hakim Mohamed Kamil Nizam bahawa pihaknya akan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara sebaik sahaja menerima satu lagi laporan perubatan dari Hospital Putrajaya.
Mohamed Kamil menetapkan sebutan semula kes itu pada 23 Ogos dan mengarahkan Visvanathan membuat representasinya, yang tidak dinyatakan, secepat mungkin.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar mmeberitahu pemberita bahawa pihaknya memanggil lapan saksi setakat ini dan bercadang menambah lima atau enam lagi saksi apabila perbicaraan bersambung semula.
Muhdalena, 28, dan Khalil Afendi Abd Hamid, 47, dilaporkan mengamuk di luar Kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak anggota keselamatan. Khalil Afendi kemudian meninggal dunia.
Muhdalena menghadapi empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dan Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment