My Add

Monday 29 July 2013

Pengeluaran beras 75.3 peratus keperluan negara

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Pengeluaran beras, daging dan sayur negara masih belum mencapai tahap seratus peratus dengan pengeluaran beras buat masa ini ialah 1.74 juta metrik iaitu 75.3 peratus daripada keperluan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, empat kawasan jelapang padi baharu yang dirancang kerajaan di Pekan, Rompin, Batang Lupar dan Kota Belud melibatkan kawasan seluas 23,900 hektar.

"Empat kawasan ini dijangka mengeluarkan 147,443 metrik tan lagi dan meningkatkan pengeluaran negara kepada 81 peratus," katanya ketika menjawab soalan Senator Zaitun Mat Amin pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, bagi daging lembu pula pengeluaran negara masa kini cuma 30 peratus daripada keperluan.

"Kerajaan mengambil langkah menambah pengeluaran lembu melalui syarikat-syarikat ladang kelapa sawit yang diberi galakan untuk ternak lembu dalam kawasan mereka dengan insentif yang diberikan.

"Setakat ini sejumlah 5,000 ekor lembu telah diagih kepada syarikat-syarikat itu," tambah Tajuddin.

Katanya, pengeluaran ikan pada masa ini ialah 134.2 peratus daripada keperluan negara dan harga ikan naik dari semasa ke semasa kerana sebahagian ikan dieksport ke luar negara.

"Kerajaan akan pastikan aktiviti eksport ikan tidak membebankan rakyat.

Selain itu kerajaan menggalakkan pengeluaran ikan akuakultur.

"Ini mampu menjadikan pengeluaran ikan negara pada tahap 50-50 bagi ikan marin dan ikan yang diternak," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment