My Add

Tuesday 30 July 2013

Perbelanjaan IT Malaysia cecah RM61.9 bilion

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Perbelanjaan terhadap produk teknologi maklumat (IT) di Malaysia dijangka mencecah RM61.9 bilion pada tahun ini, iaitu peningkatan 6.4 peratus berbanding 2012, berdasarkan kajian yang dikeluarkan badan penyelidikan industri, Gartner.

Menurut laporan itu, produk perkhidmatan telekomunikasi seperti faks, panggilan telefon dan data dianggarkan bernilai RM33.9 bilion, peranti seperti pembelian telefon, mesin pencetak dan komputer bernilai (RM13.3 bilion), perkhidmatan IT (RM9.8 bilion), perisian (RM3.3 bilion) dan sistem pusat data (RM1.7 bilion).

Pertumbuhan perbelanjaan produk IT di Malaysia bagi tahun 2013 dilaporkan bakal mengatasi pertumbuhan global yang dijangka pada kadar dua peratus. Pada tahun ini, perbelanjaan IT pada peringkat dijangka bernilai sekitar RM12 trilion.

Jumlah perbelanjaan ke atas perkhidmatan telekomunikasi yang paling besar adalah berpunca daripada peningkatan kemudahan jalur lebar serta kadar penggunaan peranti mudah alih yang semakin tinggi di kalangan penduduk.

Penjualan peranti melalui tablet dan telefon pintar dijangka berkembang dengan baik menjelang akhir tahun ini, yang mana dapat menampung penurunan jualan komputer peribadi.

Kajian yang dilakukan oleh Gartner adalah menerusi pengumpulan data daripada pembekal dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment